Saturday 14 November 2009

14 November 1988 -14 Novermber 2009

Alhamdulillah,bersyukur kepada Allah atas segala nikmat Iman dan Islam serta kesihatan yang tidak terhingga.Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W penghulu segala Nabi dan Rasul serta ahli keluarga Baginda,sahabat-sahabat dan para pengikut Radiallahu 'Alaihim 'Ajmain.Alhamdulillah,pada hari ini,genaplah umurku 21 tahun.Ternyata ianya suatu jangka masa yang panjang.Pelbagai ranjau duri telah aku lalui.Pahit,manis semuanya bercampur baur.Tapi, alhamdulillah semuanya berjaya dilalui.Perjalanan dalam hidup ini masih jauh.Cita-cita perlu dicapai kerana ianya salah satu matlamat dalam hidup.Ku harapkan doa tulus dari kalian agar mendoakan diri ini berjaya dalam hidup dunia dan akhirat.Terima kasih kepada yang memberikan ucapan ulang tahun.Juga tidak lupa kepada ahli keluarga yang banyak memberikan sokongan dan semangat bagi aku terus cekal menghadapi hidup.Terima kasih atas segalanya....=)

Thursday 12 November 2009

Haji Menuju Allah


Haji Menuju Allah
Raihan


Labbaikallahumma Labbaika
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaika
Innalhamda Wal Ni'mata
Laka Wal Mulk Laa Syarikalaka

Pergi haji
Artinya menuju Allah yang esa
Membawa hati dan diri yang hina
Memberi hadiah kepada Allah
Berhati-hatilah menghadapNya

Setiap hamba
Pergi haji dengan segala yang baik
Hati yang baik akhlak yang baik
Harta yang halal hati yang bersih
Niat yang suci amal mulia

Pergi haji
Ilmu tentangnya mestilah ada
Agar syarat dan rukun tepat sempurna
Sah dan batalnya dapat dijaga
Agar amalan hajinya tidak sia-sia

Tata tertib dan akhlak kenalah jaga
Buatlah dengan tenang serta tawadu'
Sabar dan tolak ansur mestilah ada
Jangan berkasar merempuh manusia

Tanah haram jagalah pantang larangnya
Pergi haji bukannya masa untuk membeli belah
Beringatlah betulkanlah niat kita
Moga-moga haji kita diterima

Jagalah pantang larangNya
Yang boleh rusakkan hati
Jauhkan maksiat dan yang sia-sia
Takutkan Allah yang esa
Ingat selalu padaNya
Agar kita senantiasa memiliki jiwa hamba

Lagu ini buat seluruh jemaah haji Malaysia yang sedang dan akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini khususnya untuk atuk ( Hj Samsudin ) dan nenek ( Hjh Hindon ),semoga mudah segala urusan di sana,dikurniakan kesihatan dan kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta dapat menunaikannya dengan sempurna.Akhir sekali,semoga Allah menerima haji kalian dan beroleh haji yang mabrur.Amin...

Wednesday 11 November 2009

Semoga Beroleh Haji Mabrur

Dari kiri : Ayah(Hj Sham),Nenek(Hjh Hindon),Atuk(Hj Samsudin),Emak(Masitah).


Semalam,10hb November 2009 tibalah masanya keberangkatan datuk dan nenek tercinta ( Haji Samsudin & Hjh Hindon ) ke tanah suci Makkah Al-Mukarramah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima.Walaupun sedih mengenangkan detik ini,hati ini perlu tabah dan redha atas ujian perpisahan ini.Pertemuan dan perpisahan adalah lumrah kehidupan.Ianya juga merupakan ujian Allah ke atas hamba-Nya untuk menguji sejauh mana pengharapan seorang hamba kepada Tuhan-Nya.
Buat datuk dan nenek yang tercinta :
Ku doakan agar dikurniakan kesihatan berpanjangan,kekuatan dalam mendirikan ibadah, ketabahan menghadapi ujian rintangan,kesabaran yang tinggi dan yang paling penting semoga beroleh Haji Mabrur sebagaimana yang diimpikan setiap tetamu Allah.Selamat pergi dan pulang daku doakan.Semoga semuanya baik-baik belaka.Amin.......


ikhlas dari,
cucumu...=)

Tuesday 10 November 2009

Mencari Qiblat Dalam Masjid

'Mencari qiblat dalam masjid' mungkin agak kelakar bila kita mendengarnya.Mana mungkin boleh tercari-cari qiblat di dalam masjid sedangkan sudah terpampang arah qiblatnya.Masuk sahaja ke dalam masjid,kita sudah diperlihatkan arah yang menyatukan umat Islam.Terdapat mimbar di hapan bahagian masjid yang menjadi tempat Imam menyampaikan khutbah. Tetapi pernah kita terfikir akan kejadian 'mencari qiblat dalam masjid' ini?Mungkin kita jarang mendengarnya.Saya sendiri mendengarnya melalui sebuah cerita di televisyen.Pada mulanya,saya seakan tidak mengendahkan skrip yang dilakonkan.Akan tetapi, selepas menontonnya ianya menarik perhatian.Apakah benar perkara ini berlaku walaupun ianya sekadar lakonan? Kalau benar berlaku,alangkah sedihnya kita sebagai umat Islam.Bila kita lihat keadaan umat Islam pada masa kini,tidak mustahil perkara ini berlaku.Masakan tidak,apabila ilmu agama tidak dipelajari sepenuhnya,penghayatan terhadap ajaran yang telah disampaikan Rasulullah S.A.W tidak diberi perhatian sewajarnya,syariat Yang Maha Esa tidak dilaksanakan dengan sebaiknya maka adalah tidak mustahil berlakunya kejadian sebegini.Kita semua sudah maklum,solat adalah perkara utama dalam menjadikan kita sebagai umat Islam yang cemerlang.Di Hari Perhitungan nanti,solat merupakan amalan utama yang akan ditanya.Tapi,bila perkara solat diambil ringan, tidak bersungguh-sungguh untuk mengerjakannya,ramailah umat Islam akan terus hanyut dengan kehidupan dunia.Kalau solat pun sudah dipandang remeh,apakan pula hendak ke masjid.Berbalik pada tajuk di atas,ianya jelas menunjukkan sungguh cetek ilmu seseorang itu. Tetapi,jika sekiranya seseorang itu betul-betul tidak tahu maka wajib baginya untuk mencari ilmu agama.Tapi,jika seseorang itu sudah tahu tapi tetap tidak mahu melaksanakan perintah solat itu,maka bersedialah untuk menjawab persoalan di akhirat kelak.Seharusnya kita perlu membimbing mereka yang masih mahu menunaikan solat dan mereka yang mahu untuk menghadirkan diri ke rumah Allah walaupun berlakunya 'mencari qiblat dalam masjid'. Golongan ini harus di beri perhatian dan bimbingan yang sewajarnya.Ini kerana,terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu terjerumus dengan ajaran sesat.Mereka yang ingin berubah tapi tiada bimbingan yang betul akan mudah terikut dengan ajaran yang bercanggah dari syariat yang sebenarnya.Marilah kita memberi perhatian dengan keadaan yang melanda umat Islam kini agar kejadian 'mencari qiblat dalam masjid' tidak berlaku. Walaupun ianya sekadar skrip drama,jangan pula kita pandang remeh perkara ini.Sama-samalah kita meningkatkan keimanan kepada Allah agar kita tergolong di dalam golongan mereka yang berjaya di dunia dan akhirat.

Friday 28 August 2009

Bulan Ramadhan + Bulan Kemerdekaan




Alhamdulillah bersyukur kita kepada ALLAH S.W.T atas limpahan nikmat Iman dan Islam serta nikmat-nikmat yang tidak terhitung banyaknya.Selawa dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W penghulu para Nabi dan Rasul,yang membawa rahmat buat sekalian alam juga buat ahli keluarga baginda serta sahabat-sahabat baginda R.A.
Alhamdulillah pada tahun ini sekali lagi kita bertemu dengan satu bulan yang
mana penuh dengan rahmat dan pengampunan dari ALLAH S.W.T.Satu bulan yang dijanjikan keberkatan bagi sesiapa yang menghidupkan malam dan siangnya dengan amal ibadah yang ikhlas kerana ALLAH S.W.T.Bulan itu adalah Ramadhan Al-Mubarak yang penuh didalamnya segala kebaikan.
Pada bulan ini,semua umat Islam diwajibkan untuk berpuasa di siang hari dan di sunatkan mendirikan solat tarawih pada malamnya.Ianya telah pun di syriatkan sejak tahun kedua hijrah lagi.Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.Malah,mengawal hawa nafsu dari melakukan perkara yang tidak baik.Dalam satu hadis Nabi,ada menyatakan dengan berpuasa kita dapat menyekat hawa nafsu kita.Bagi mereka yang mempunyai keinginan untuk berkahwin tetapi tidak berkemampuan lagi,adalah disarankan oleh Baginda S.A.W untuk berpuasa.
Selain itu,pada bulan ramadhan ini juga kita bebas untuk melakukan amal ibadah
dan segala kebaikan.Ini kerana,syaitan pada ketika ini dirantai dan diikat sehinggalah berakhirnya ramadhan.Akan tetapi,jika kita tegar untuk melakukan maksiat dan keburukan ianya adalah dari nafus kita.Nafsu yang tidak dapat dilenturkan akan menyebabkan nafus amarah tetap bermaharajalela dalam diri manusia.
Jika dilihat kembali pada ayat yang mensyariatkan kita berpuasa,ianya terkandung penuh makna penghayatan.Ayat tersebut yang bermaksud:

"Wahai mereka yang beriman,diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa se
perti mana di wajibkan ke atas umat yang terdahulu supaya kamu bertaqwa''(Al-Baqarah 183)

Ayat di atas jelas menunjukkan tarbiyyah dari berpuasa adalah untuk menjadikan kita sebagai umah yang bertaqwa.Bagi mereka yang menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan nescaya dia akan merasai kemanisan ramadhan serta kenikmatan taqwa.Di dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda,mafhumnya:

"Barang siapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pe
ngharapan, diampunkan baginya dosa-dosa yang terdahulu"

Ada pun pada riwayat yang lain:


"Barang siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan baginya dosa-dosa yang terdahulu"

Selain itu,beberapa peristiwa yang besar dalam sejarah Islam telah berlaku dalam bulan Ramadhan.Antaranya sejarah penurunan AlQuran sebagai mukjizat teragung bagi Nabi Muhammad S.A.W.Peristiwa ini juda dirakamkan dalam Al-Quran di dalam surah Al-Baqarah ayat ke-185 yang bermaksud:

"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran,menj
adi petunjuk bagi sekalian manusia,dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan,dan menjelaskan perbezaan antara yang benar denganyang salah"

Al-Quran diturunkan adalah menjadi petunjuk bagi manusia serta menzahirkan yang haq serta yang batil.Oleh demikian,ramadhan adalah suatu bulan yang amat berharga yang di kurniakan ALLAH S.W.T kepada umat manusia.Selain itu,bagi mereka yang melaksanakan amal kebaikan akan dibalas dengan berlipat kali ganda.Ganjaran puasa juga dibalas sendrir oleh ALLAH S.W.T.
Pada tahun ini,Ramadhan bertembung dengan tarikh yang amat penting bagi negara kita.Kali ini,kita akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-52 dalam bulan yang penuh barakah ini.Apakah bagi kita untuk menyambutnya dengan konsert-konsert serta perayaan yang melalaikan?Jika diteliti pada tahun-tahun yang lalu,kita dapati perayaan menyambut kemerdekaan seakan-akan kita ini dijajah dengan budaya yang menyedihkan.Kita seharusnya bersyukur atas anugerah yang besar nilainya yang dikurniakan oleh ALLAH kepada kita khususnya rakyat NEGARA MALAYSIA.Tugas untuk mengekalkan kemerdekaan serta perpaduan adalah terpundak di atas bahu semua rakyat jelata.Dalam Al-Quran,ALLAH S.W.T menerangkan bagaimana cara bersyukur selepas mendapat kemenangan.Di dalam surah ke-110 iaitu surah An-Nasr yang bermaksud:
"Apabila datang pertolongan ALLAH dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai Mekah)#Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama ALLAH beramai-ramai#Maka ucapkanlahtasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya ALLAH sangat-sangat menerima taubat"

Oleh yang demikian,adalah diseru bagi kita umah Islam khususnya rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Kemerdekaan dengan bertasbih serta memuji kebesaran ALLAH serta memohon keampunan dariNya.Selain itu,kita juga wajib bersyukur diatas nikmat kemerdekaan dan Ramadhan dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan laranganNya.Serta mengamalkan budaya hidup seorang muslim dengan nilai-nilai yang telah diajarkan oleh Baginda Muhammad S.A.W.Disamping kita menghidupkan sunnah Rasulullah dengan mempraktikannya dalam kehidupan seharian.
Bertepatan dengan Hari Kemerdekaan yang jatuh pada Bulan Ramadhan,marilah kita meraikannya dengan melaksanakan ibadah puasa dengan sepenuh keimanan dan pengharapan. Agar kemerdekaan kita diberkati ALLAH serta ibadah puasa kita diberi ganjaran oleh ALLAH S.W.T.

Friday 24 July 2009

Sekian Lama...,

'Sekian lama' begitulah yang bisa bagiku mengungkapkan.Banyak lagu yang dimulai dengan ayat tersebut.Kini,setelah hampir dua bulan aku tidak menjengah ke laman penulisan ini.Ianya bagaikan terbiar tanpa dihiraukan olehku.Semua ini kerana kesibukan dengan pelbagai perkara yang tidak bisa dielak.Akan tetapi,tidaklah bermakna ia menjadikan diriku untuk tidak meneruskan usaha dalam bidang penulisa.Bermula setelah selesai musim peperiksaan,aku mula sibuk dengan persiapan dan persediaan untuk pulang ke tanah air.Keghairahan untuk pulang bukan kepalang.Pelbagai perasaan bercampur baur.Suka duka,riang gembira semuanya ada.Begitulah keadaannya ketika mahu pulang ke Malaysia.Kalau tidak silap,aku berulang alik 3 kali ke Kaherah. bagi menyelesaikan urusan di kedutaan.Namun,itu ku anggap sebagai perkara biasa.Agar ianya tidak terlalu membebankan diri.Namun begitu,tidak kurang pula dengan masalah yang mendatang.Bukan mudah untuk menguruskan pelbagai masalah yang melanda tatkala waktu keberangkatan hampir tiba.Tetepi,semua itu dihadapi dengan tenang dan profesional.Setelah semua urusan selesai,maka tarikh yang dinantikan pun tiba.Malam sebelum berangkat aku tidak tidur sehinggalah masuknya waktu subuh.Selepas subuh,barulah mataku minta untuk direhatkan.Terlena dengan buaian tidur,aku hari sudah mula terang.Bingkas aku bangun untuk memastikan segala barang yang hendak dibawa pulang sudah siap dikemas.Program masak-memasak pun bermula dengan diketuai oleh Cik Hidhir Hanizan kita.Orang yng bertungkus-lumus memastikan semua yang hadir pada pagi itu dijamu dengan hidangan istimewa.Terima kasih Kider!!!Ketika mana sedang menunggu ketibaan sahabat-sahabatku untuk berkumpul sebelum bergerak ke mator,pelbagai karenah dan gurau senda antara kami.Suasana menjadi gembira dan ceria.Ada yang masih mengemas barang,ada juga yang sempat bermain 'game' bola.Setelah semuanya selesai,makanan pun habis dijamu maka berangkatlah kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.Ketika itu,sekali lagi kami diuji dengan suatu ujian.Tapi,ianya dihadapi dengan tabah dan sabar.Disitu,terpancar kemanisan ukhwah dan persahabatan.Tatkala masing-masing mengambil 'cakne' dengan masalah yang timbul.Dengan izin Allah,maka berangkatlah kami.Dengan hati yang bercampur baur,tidak boleh tidak harus diteruskan jua.Namun,malang tidak berbau.Ketika hampir sampai,kami diuji dengan dugaan yang amat mencabar kesabaran.Pemandu yang membawa kami tidak tahu arah jalan ke sana.Hendak marah,tiada gunanya.Setelah mendapatkan arah yang betul,pemandu tersebut terus memecutkan vannya.Kami kesuntukan masa.Waktu untuk lapor diri semakin hampir.Setelah sampai sahaja di mator,semua bagasi diturunkan segera.Tanpa berfikir lagi,kami terus masuk ke dalam.Selepas bersalaman dengan sahabat-sahabat yang lain serta mengucap selamat tinggal,kami masuk untuk lapor diri.Ketika sesi timbang bagasi,alangkah terkejutnya aku.Berat bagasiku melebihi had muatan yang ditetapkan.Resah juga dibuatnya.Aku menarik nafas lega tatkala seorang dari sahabat seangkatanku menawarkan untuk dimasukkan bagasiku ke dalam kuotanya.Alhamdulillah,lega rasanya.Selepas urusan lapor diri selesai,kami pun bergerak ke arah pintu masuk kapal terbang.Kami memilih 'Fly Emirates' sebagai pesawat pilihan kami.Ini kerana,kami ingin 'transit' di Dubai.Maka,dengan hati yang gembira berangkatlah kami pulangke tanah air.Insya'ALLAH,jikalau dikurniakan rezeki boleh kita pulang bersama lagi.Sayonara Misr.....

Friday 29 May 2009

Sayonara Sahabat


Pada malam ini,dua orang sahabat seperjuanganku di Bumi Dumyat akan berangkat pulang bercuti ke Malaysia.Mereka adalah Mohd Iqbal dan Fakhrul Ariff.Kepulangan yang begitu awal adalah disebabkan tamatnya imtihan mereka pada semester kedua ini.Amat menyentuh sanubari tatkala saat perpisahan di petang semalam.Bagai baru sahaja bersua,tapi sudah mahu pulang ke Malaysia.Tetapi,kepulangan mereka ini hanya memenuhi musim cuti sahaja.Insya'ALLAH akan kembali semula ke sini.Selamat Berangkat aku ucapkan kepada kalian.Semoga selamat sampai ke Malaysia.Kembalilah dengan semangat untuk menyerikan Islam disamping melaksanakan tugas sebagai Da'ei.Insya'ALLAH,ada rezeki kita berjumpa di Malaysia kelak.Ma'as salamah,sayonara, selamat jalan dan ketemu lagi.

Sunday 24 May 2009

Senyumlah Sikit

With Nasrul Hadi at Indoor Cafe

Kenangan ketika menyertai 'Damietta Travel 09'

Sebuah senyuman yang ikhals itu mampu untuk mengubat hati yang sedang berduka.Ianya juga dianggap sebagai suatu sedekah.Ini kerana,kita memberikannya tanpa rasa di paksa.Selain itu,ia dapat menambat hati seseorang.Dengan senyuman,sudah cukup melambangkan isi lukisan hati kita ini.Ukirlah sebuah senyuman yang paling ikhlas dan manis.Selain itu,ianya juga berperanan menjadi penawar hati yang sakit.Apabila kita melemparkan senyuman kepada seseorang,kita telah membuatkan dia selesa dan suka untuk berkawan dengan kita.Akan tetapi,jangan pula ianya di salah guna.Dalam kata lain,kita memberi senyuman atas dasar untuk menyindir.Ini akan menyebabkan individu itu akan tersinggung hati.Ada pula yang menjadikan ia sebagai alat untuk memikat orang yang kita minati.Tidak salah untuk melakukannya,akan tetapi harus berpada serta berhati-hati.Kelak ianya akan memakan diri sendiri.Oleh itu,senyumlah dari hati dengan perasaan seikhlas yang mungkin.Kerana ia dapat menjadi penawar kepada hati yang lara selain memberi sedekah yang tidak ternilainya.

Senyumlah sikit.....=)

Friday 22 May 2009

Menghitung Hari



Pejam celik,pejam celik sudah hampir ke akhir bulan Mei.Ini bermakna,tidak lama lagi akan memasuki bulan Jun.Peperiksaan bagi sesi semester kedua peringkat Universiti Al-Azhar pun telah bermula dengan jayanya. Dalam menempuhi imtihan ini,pelbagai cabaran dan perasaan yang melanda.Tidak kurangnya semangat untuk pulang ke tanah air.Begitu juga dengan saya. Perasaan ini menyelubungi diri tatkala menghadapi imtihan. Apa- apa pun,ianya harus ditempuh dengan cemerlang.Agar natijahnya nanti,akan membuatkan kita gembira.Dalam menghitung hari keberangkatan pulang,ada beberapa perkara yang bermain di benak fikiran ini.Perasaan bercampur baur.Adakalanya gembira,sedih,dan bimbang pun ada.Gembira memandangkan sudah hampir dua tahun tidak bertemu sua dengan ahli keluarga tercinta.Sedih pula kerana akan meninggalkan bumi ardhul kinanah ini.Banyak pengalaman yang saya perolehi di sini.Pelbagai kenangan bersama sahabat-sahabat seangkatan.Kenangan manis,pahit,suka dan duka pun ada.Itulah lumrah kehidupan seorang insan di muka bumi ini.Selain itu,kerisauan apabila pulang nanti pun berlegar-legar di ruang fikiran saya.Apa tidaknya,adakah saya sudah cukup bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat?Perasaan ini cukup membuatkan saya takut dan risau untuk pulang bercuti nanti.Tetapi,ianya bukanlah penghalang bagi saya untuk menunaikan hasrat keluarga yang mahukan saya pulang pada tahun ini.Oleh itu,saya perlu bersedia dengan apa jua kemungkinan.Juga perlu berani untuk berhadapan dengan komuniti masyarakat di Malaysia nanti.

Friday 15 May 2009

Selamat Hari Guru

Barisan Guru Maahad Johor

Barisan Guru Sekolah Menengah Islam At-Tahfiz,Pasir Gudang

Barisan Guru Sekolah Rendah Islam At-Tahfiz,Pasir Gudang



Tanggal 16 Mei pada setiap tahun,di negara kita khususnya pasti akan meraikan suatu perayaan 'Hari Guru'.Perayaan ini bertujuan bagi meraikan usaha penat lelah para pendidik dalam membentuk generasi masyarakat yang berilmu seiring dengan kehendak Islam.Tidak salah bagi kita untuk menyambutnya walaupun ianya tidak dilakukan di zaman Baginda S.A.W. Perayaan ini biasanya diadakan di peringkat sekolah.Ada juga dianjurkan diperingkat negeri ataupun kebangsaan.Pada hari tersebut,pelbagai acara dijalankan.Contohnya sukaneka bersama guru, kuiz,persembahan dan sebagainya.Ianya tidak lain tidak bukan, hanyalah untuk meraikan warga pendidik yang mana selama ini telah bertungkus-lumus memberi tunjuk ajar kepada anak muridnya.Warga pendidik adalah salah satu tulang belakang kepada pembentukan generasi berilmu,beriman serta mempunyai ciri-ciri insan yang berketerampilan. Golongan ini amat berjasa kepada kita semua.Tidak kira di tadika hinggalah ke peringkat universiti.Sememangnya golongan ini harus di beri penghormatan sewajarnya.Guru adalah ibu bapa kepada kita ketika berada di sekolah.Merekalah jua yang mencorakkan kehidupan seseorang individu itu.Oleh itu,bersempena Hari Guru yang jatuh pada keesokan hari marilah kita sama-sama memartabatkan institusi pendidikan dengan apa cara sekali pun.Disamping itu,hendaklah kita sentiasa mendoakan kebahagiaan bagi guru-guru kita.Moga dengan itu,kita akan memperoleh keberkatan dalam setiap ilmu yang kita perolehi.

''SELAMAT HARI GURU'' saya ucapkan kepada guru-guru yang pernah mengajar saya.Sedari tadika hingga ke peringkat universiti.Khususnya kepada guru-guru di Tadika Al-Fitrah(1994),Sekolah Rendah Tanjung Puteri(1995-1997),Sekolah Rendah Islam Ar-Rasyidin(1998), Al-Maahad Al-Islami Lit-Tarbiyyah Wat-Tahfiz(1999-2005), Maahad Johor(2006),Kolej Pengajian Tinggi Islam Johor-Marsah(2007),Universiti Al-Azhar Cawangan Dumyat(Kini). Semoga kalian senantiasa berada dalam rahmat ALLAH S.W.T dan diberikan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.


'Guruku'

Guruku kau penyuluh hidupku
Menerangi alam ini
Kau ku anggapkan sebagai ibu bapaku
Wahai guruku
Kau ibarat sebatang lilin
Menerangi alam kegelapan
Kau sanggup membakar dirimu wahai guruku
Kau insan yang mulia mendidik dan membimbing daku
Kaulah insan yang kusanjungi
Guruku
Segala baktimu
Akanku balas dengan kejayaanku
Akanku buktikan kepadamu
Wahai guruku

'Shoutul Amal'


p/s: Teringat masa zaman kenakalan pelajar.

Sunday 10 May 2009

Selamat Hari Ibu


"Ibu,umi,mama,emak' itulah panggilan mesra kepada seorang wanita yang telah melahirkan kita di muka bumi ini.Dialah insan yang berhempas-pulas,bertaruhkan nyawanya sendiri bagi memberi sinar kehidupan kepada kita.Tatkala kita menangis di waktu malam,dialah yang menenangkannya.
Di saat kita menangis,dialah insan yang membuat kita tertawa.Tak kurang pula,ketika mana kita cedera luka,dialah doktor peribadi yang sentiasa berada di sisi kita.Dialah insan segala-galanya bagi kita.Tanpa ibu,siapalah kita di muka bumi ini.
Namun,pada zaman kini terdapat anak-anak yang tidak menghargai pengorbanan seorang ibu.Ada yang sanggup memukul ibu sendiri bagi memenuhi kehendak nafsu semata-mata.Perkara ini amat menyedihkan sekali.Sepatutnya kita sebagai anak harus membela ibu kita.Jangan sampai kita ini dikategorikan sebagai anak derhaka.Gelaplah dunia alamatnya.
Pada tanggal 10 Mei tahun ini,bagi negara-negara komanwel akan menyambut Hari Ibu.Sebenarnya,kita perlu meraikannya pada setiap hari.Bukan pada hari tertentu sahaja.Akan tetapi,ianya adalah sebagai simbol atau peringatan bagi kita yang bergelar anak agar tidak lupa akan pengorbanan yang telah di lakukan oleh ibu kita.
Di kesempatan ini juga,saya ingin mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' kepada emak saya Puan Masitah Bte Embi.Terima kasih kerana mendidik amie selama ini.Semoga emak akan bahagia dan gembira selalu.Diberikan kenikmatan beribadah,dijauhkan dari fitnah dan musibah.Semoga ALLAH TA'ALA memberkati kehidupan emak seharian dan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat serta di tempatkan di syurga yang hakiki.Tidak terdaya untuk amie membalas segala jasa baik emak selain mendoakan segala kebaikan untuk emak.Amin...



p/s:
Rindu sangat masakan emak.Tak sabar rasanya nak blik Malaysia.

Saturday 9 May 2009

SATU HATI-LA KHAUF


La Khauf-satu Hati


Bilakah lagi kita akan satu hati
Bilakah lagi keamanankan dikecapi
Bilakah lagi Islam kan dijulang tinggi
Bangunlah wahai ummah kita satu hati

Marilah bersama bersatu berjihad
menentang kezaliman
Oh insan sedarlah
pembalsan Tuhan pasti akan datang

Jangan takut
Berjuanglah untuk keamanan

BERSATU

Marilah kita sama-sama mengambil mesej pengajaran dari seni kata video klip lagu ini.


Apa Nak Jadi...?

Baru-baru ini,kita digemparkan dengan berita mengenai kekecohan yang berlaku di DUN PERAK yang hingga kini tidak menunjuk jalan penyelesaian.Pelbagai spekulasi yang dibuat berkaitan dengan isu terhangat ini.Ada pihak yang mengatakan sidang berkenaan tidak sah disisi perlembaggan.Tidak kurang pula ada yang menyatakan,pihak ini mempunyai kuasa dalam propaganda tersebut.Saya tidaklah berniat untuk mengulas atau mengkritik mana-mana pihak.
Cuma suka saya bagi membawa anda semua berfikir sejenak mengapa perkara ini berlanjutan hingga ianya kelihatan begitu parah?Tiadakah jalan penyelesaian yang terbaik yang boleh diambil?

Saya berpendapat,punca ini adalah kerana tiada perlaksanaan hukum ALLAH dalam pentadbiran negara kita sendiri.Al-Quran perlu dijadikan sumber perundangan yang utama.Kemudian diikuti Sunnah Nabi Muhammad S.A.W sebagai sumber kedua.Tidak lupa juga sumber-sumber yang lain di dalam Islam.Kemudian barulah diletakkan perlembagaan undang-undang manusia dibawahnya.Perkara ini disebutkan dalam mata pelajaran ''NIZAMUL ISLAMIYYAH'' bagi Kuliah Usuluddin di peringakat Universiti Al-Azhar.Dalam subjek itu ada mengatakan bahawa undang-undang ciptaan manusia ini boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian zaman ketika itu.Perkara ini tidak mustahil berlaku dalam sistem pentadbiran dalam negara kita sendiri.Selain itu,undang-undang manusia juga tidak dapat dilaksanakan di semua negara.Ianya hanya tertumpu pada sesuatu negara sahaja.Mana mungkin sistem kita dilaksanakan di Brazil.Ini sebagai contoh yang boleh saya bawakan.Beberapa contoh sudah terjelas di depan mata kita.Ada beberapa akta yang kini perlu dibincangkan semula seperti yang dinyatakan Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak,bahawa akta ISA perlu dikaji semula.Ini menunjukkan undang-undang manusia ini boleh menerima perubahan dan tidak akan kekal sama sekali.Berbeza pula dengan sistem perundangan Islam.Dengan meletakkan hukum syari'at ALLAH di atas dan sebagai asas,ianya akan stabil dan amat sesuai dengan peredaran zaman.Sejak di zaman Baginda S.A.W hingga ke hari qiamat sekali pun,ianya tetap sesuai dan boleh di terima oleh semua golongan manusia.Tidak tertumpu pada sesuatu kaum itu sahaja. Inilah keistimewaan dan kelebihan undang-undang KHALIQ berbanding undang-undang MAKHLUQ.Selain itu,sistem ini meliputi segala aspek kehidupan.Dari bermulanya bangun tidur hingga kita hendak tidur kembali.Cukup sempurna kehidupan manusia jika ianya terlaksana.

Jika kita melihat pada isu lain pula.Seperti isu rogol atau pencabulan maruah.Perkara ini amat berat untuk dilunaskan.Ianya sentiasa berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.Ada sahaja kes terbaru yang dilaporkan.Tidak kira utara selatan,mahupun timur dan juga barat.Kita dapati kes ini berlaku seolah-ilah tiada jalan penyelesaian yang terbaik.Oleh itu,sekiranya kita berbalik pada hukum Sang Pencipta Maha Berkuasa,insya'ALLAH segala masalah akan menemui penyelesaiannya.Ini kerana,setiap apa yang ALLAH TA'ALA telah syari'atkan sudah pasti ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu.Dia yang menciptakan manusia.Sudah tentu Dialah Yang Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh hambNya.

Berbalik pada cerita diatas,adalah lebih bermakna sekiranya ianya diselesaikan dengan cara mengembalikan pada yang berhak.Iaitu dengan mengadakan semula Pilihan Raya.Bagi saya,dengan cara ini akan dapat kita selesaikan masalah yang berlaku.Disamping kita meminta pertolongan dari ALLAH bagi memudahkan urusan penyelesaia kes ini.Saya bukanlah orang yang mahir dalam perundangan.Tetapi,saya menilai dari sudut kacamata seorang penuntut ilmu dalam bidang agama. Saya cuma inginkan kedamaian kembali di negara kita.Tidak salah untuk kita cintakan negara kan.Marilah sama-sama kita memanjatkan doa ke hadrat ALLAH agar mengurniakan kebahagiaan,kedamaian serta keharmonian hidup dalam NEGARA Malaysia kita yang tercinta.Saya teringat akan sepotong ayat Al-Quran di dalam Surah A-Baqarah.Dimana Nabi Ibrahim A.S telah memohon doa dari ALLAH yang berbunyi:

واذ قال ابراهم ربّ اجعل هذا بلدا أمنا
yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berdoa 'Ya Tuhanku,jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa'

Marilah kita mengambil pendekatan dengan cara menjalankan hukum ALLAH serta melaksanakan segala perintah dan mencegah laranganNya.Agar dengan itu,kita diberikan apa yang kita harapkan dalam hidup ini.Oleh itu,marilah kita sama-sama merafa'kan doa kepada Rabbul 'Izzati agar dikurniakan segala kebaikan dalam kehidupan seharian kita di atas muka bumi.Semoga dengan itu,dapatlah kita melaksanakan syari'at ALLAH seperti mana yang dituntut dalam Islam.Insya'ALLAH...

Tuesday 28 April 2009

Imtihan kian Hampir


Bila sebut je pasal imtihan atau exam,ianya pasti akan menghantui perasaan mahasiswa atau pelajar itu sendiri.Tidak kiralah di sekolah rendah,menengah,universiti atau pusat-pusat pengajian yang lain.Semestinya akan berlaku proses penilaian melalui ujian dan peperiksaan.perkara ini adalah normal bagi mereka yang bergelar si penuntut ilmu.Ianya bertujuan untuk menilai sejauh mana kemampuan yang telah dicapai sepanjang sesi pembelajaran.
Dalam kita berusaha untuk menghadapi peperiksaan ini,adakalanya akan berlaku 'stress' ketika belajar.Ini adalah perkara yang kebiasaannya berlaku apabila pelajar itu tidak tahu bagaimana untuk menyusun waktu belajarnya.Ianya akan membuatkan keadaan menjadi kelam kabut seterusnya berasa tertekan melihat kawan-kawan yang sudah bersiap sedia untuk imtihan.
Ketahuialah wahai sahabat-sahabatku,
Sesungguhnya,setiap usaha titik peluh kita dalam melayari kehidupan sebagai seorang penuntut ilmu ini,akan ada saja cabaran,dugaan serta rintangan yang tidak terjangka.Tabahkanlah hati,kuatkan jati,teguhkan niat,satukan matlamat.Jangan mudah putus asa,apabila ujian datang melanda.Ingat!!!Tidak dinamakan perjuangan melainkan dengan cabaran.Oleh itu,berusahalah sedaya mungkin.Agar nikmat kemanisan kejayaan dapat kita kecapi.Mohonlah doa dari Sang Pencipta kita.Kerana Dia Maha Mengetahui apa yang sebaiknya untuk kita.

Saturday 18 April 2009

..::pohon hijau::..

Pohon hijau itu berdiri kaku
Pohon hijau itu berdiri kaku
Megahnya di celah pohonan
Ibarat lukisan hidup
Tetap tegak dan kaku

Pohon hijau itu tetap kaku
Lantas desiran kedengaran
Amat sayup dan sayu
Ia mula bergerak

Pohon hijau itu tidak kan kaku lagi
Beralun mengikut tarian bayu
Pohon hijau itu melambai-lambai
Beralun mengukir kehijauan

Begitulah diibaratkan
Dunia dengan kehidupan
Bermulanya di daratan
Kini menuju ke tengah lautan

Angin yang menderu
Datang tak menentu
Ombak memukul pelayaran
Apakan tergoyang keimanan

Untukmu teman bajailah hidupmu
Sirami hatimu dengan ketaqwaan
Dalam mencari keredhaan Tuhan

Hati-hati teman
Meniti salju kehidupan
Nan rapuh bisa cair dan runtuh

Bersama angin lalu kutitipkan harapan
Agar terus tabah hadapi cabaran

Pohon hijau itu yang dulu kaku
Kini mengikut tarian bayu
Pohon hijau itu melambai-lambai
Beralun mengukir kehijauan

Pohon hijau itu tidakkan kaku lagi
Beralun mengikut tarian bayu
Pohon hijau itu melambai-lambai
Beralun mengukir kehijauan

Bila kejayaan sudah digenggaman
Ingat-ingat teman kita kan pulang

Pohon hijau itu kini kaku
Ia tak bergerak lagi
Ia pastikan layu
gugur di taman ini

Penyanyi : Kump Brothers

Friday 17 April 2009

..::sahabat,teman,kawan::..


''sahabat,teman,kawan''
Satu ungakapan yang berbeza tapi sama makna dan pengertian.Adakalanya,penggunaan istilah ini juga perlu pada kesesuaian ayat.Contohnya 'kawan makan kawan'.Tidak pula kita dengar 'teman makan teman'.Apa pun,ianya membawa suatu definisi yang cukup baik.Jika kita salah menggunakannya maka ia akan menjadi suatu perkara yang sia-sia.
Dalam hidup ini,tidak boleh tidak kita berkehendak kepada sahabat.Sejak dari kecil lagi,kita sudah punyai teman sepermainan.Inilah hakikat kehidupan seorang insan di dunia ini.
Sebagai manusia,kita tidak boleh lari dari berkawan atau bermasyarakat.Masyarakat boleh hidup tanpa kita akan tetapi,kita tidak boleh hidup tanpa mereka.Masing-masing menjadi pelengkap kepada yang lain.Tidak dinafikan,dalam hubungan ini terdapat beberapa perkara yang menggugat kemanisannya.Tidak kiralah ianya datang dari kita sendiri ataupun dari pihak luar.Kita harus bersikap profesional dalam menghadapi segala cabaran.Sikap tergopoh-gapah,akan menyebabkan keadaan menjadi tidak tentu arah.Mendung tidak semestinya hujan,dan hujan itu tidak semestinya pilu.
Selain itu,kita perlu akui bahawa sahabat kita itu juga seorang insan biasa seperti kita.Terdapat kelemahan yang perlu kita bantu.Janganlah dek kerana kelemahannya,kita larikan diri dari terus berkawan dengan dia.Manalah tahu,ada kelebihan dia yang kita sendiri tak tahu.Tuah ayam nampak di kaki,tuah manusia Allah saja yang tahu.
Islam amat menggalakkan pengikutnya untuk bersahabat atau bersaudara.Perkara ini di gariskan Al-Quran dalam surah Al-hujurat ayat 10:

"أنما المؤمنون أخوة فأصلحوا بين اخويكم
"

bermaksud: ''Sesungguhnya mereka yang beriman itu adalah bersaudara,maka damaikanlah antara kamu yang bertelagah"

Rasulullah S.A.W amat menitik beratkan soal ukhuwwah.Keakraban Baginda dengan para sahabat cukup menakjubkan.Kemanisan ukhuwwah Islamiyyah terkesan dalam jiwa mereka.Dalam peristiwa hijrah,Baginda telah mempersaudarakan antara kaum muhajirin dan ansar.Ukhuwwah mereka cukup hebat sehinggakan ada yang sanggup menceraikan isteri mereka untuk dinikahi oleh sahabat mereka dari kaum muhajirin.Adakah kita mampu untuk melakukan pengorbanan seperti ini?Tepuk dada,tanya iman.
Saidina Ali Bin Abi Talib K.W.H pernah berkata '

" صديقك من نهاك وعدوّك من أغراك"
bermaksud:''Sahabatmu ialah sesiapa yang melarangmu daripada melakukan kejahatan, manakala musuhmu ialah sesiapa yang menggalakkan dirimu untul melakukan kejahatan''.


Begitu besar peranan seorang sahabat dalam mendorong sahabatnya itu ke arah kebaikan.Oleh yang demikian,bersahabatlah sepertimana Rasulullah bersahabat.Hargailah ukhuwwah yang terbina.Usah biarkan ia ranap begitu saja.Bimbinglah sahabat anda ke jalan yang di redhai Illahi.Sayangilah mereka kerana disitu terdapat kemanisan yang tiada tolok bandingnya.


"ukhuwwah fillah selamanya"








Thursday 16 April 2009

..::salam introduce::..

assalamualaikum..,

Salam sejahtera buat blogger sekalian.Untuk pengetahuan,saya baru saja menceburkan diri dalam bidang penulisan blog ini.So,andai kata terdapat kesilapan dan kesalahan rajin-rajinkanlah jari-jemari anda untuk memberi komen atau kritikan yang membina.Segala yang baik itu datang dari Allah dan yang mudharat itu jua dari Alla atas kelemahan insan yang hina ini.....=)

Tajribiyyah...!!