Sunday 13 June 2010

Bulan Rejab Kembali

Alhamdulillah,segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas segala limpah kurnia serta 'Inayah-Nya kita masih lagi menghirup udara Allah Ta'ala ini.Selawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarganya,para sahabat dan para tabi'in yang berjuang bersama Baginda S.A.W.

Berlalunya waktu masa kini begitu pantas meninggalkan kita.Setahun yang dirasakan bagaikan sebulan,sebulan pula dirasakan bagaikan sehari.Begitulah perumpamaan waktu yang kita ada pada hari ini.Adakala kita alpa dan leka dalam mengejar dunia menyebabkan kita lupa akan pengakhiran matlamat hidup ini.Kini,kita telah pun sampai ke satu bulan yang penuh dengan kerahmatan.Bulan yang diklasifikasikan sebagai Bulan Allah.Bulan itulah yang dinamakan sebagai Rejab.Apa yang dimaksudkan Rejab ialah kebesaran,keagungan dan kemuliaan.Ada pun setiap huruf pada perkataan Rejab ini membawa maksud yang tersendiri.Huruf ( Ra' ) adalah rahmat belas kasihan Allah atas umat Nabi Muhammad S.A.W.Manakala huruf ( Jim ) adalah 'Jud '.Ia bermakna sifat pemurah Allah dalam mengurniakan pahala solat lima waktu seakan solat lima puluh waktu.Huruf yang akhir sekali ialah ( Ba ) bermakna ' Birrun '.Ia jelas membawa maksud segala kebaikan yang dilakukan pada bulan yang mulia ini akan mendapat ganjaran besar di sisi Allah S.W.T.

Pada bulan ini juga,kita selaku umat Islam amatlah digalakkan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunat disamping tidak mengabaikan tuntutan yang wajib.Ini kerana perlbagai kelebihan dan fadhilat yang terkandung dalam bulan yang mulia ini.Antaranya pada malam Rejab ini adalah antara malam yang Allah Ta'ala maqbulkan doa bagi mereka yang menghidupkan pada malam tersebut.Selain itu juga,bagi mereka yang menghidupkan malam ini,nescaya hatinya tidak mati sedang mana hati orang lain mati.Disamping itu juga,bagi mereka yang memuliakan bulan Rejab ini,akan dimuliakan oleh Allah S.W.T di hari akhirat kelak.Namun kini,manusia lebih cenderung untuk mencari kemuliaan pada pandangan manusia berbangding kemuliaan di sisi Allah S.W.T.

Seperti mana yang kita sedia maklum akan mafhum hadith Nabi Muhammad S.A.W ' Bulan Rejab adalah bulan Allah,Bulan Sya'ban adalah bulan Baginda S.A.W,manakala Bulan Ramadhan adalah bulan umat Nabi Muhammad S.A.W '.Jika dihayati akan mafhum hadith ini,sudah tentu kita tahu akan kelebihan jika beramal pada bulan ini.Ianya sudah dan nyata,bulan yang dikategorikan sebagai Bulan Allah,sudah tentu banyak kelebihan dan fadhilat yang terkandung padanya.

Selain itu,kita digalakkan untuk melaksanakan amalan sunat seperti puasa.Allah S.W.T telah menjanjikan barang siapa yang berpuasa sehari,perumpamaan seperti mengerjakan ibadah haji seumur bagi mereka yang melakukannya juga akan memperoleh keredhaan Allah S.W.T.Jika berpuasa dua hari dalam bulan ini,Allah Ta'ala mengurniakan kemuliaan disisi-Nya bagi mereka yang mengerjakan.Makala berpuasa tiga hari darinya,akan diselamatkan dari ancaman bahaya di dunia mahupun akhirat.Juga akan terlindung dari penyakit gila dan fitnah syaitan dan dajjal. Manakala jika kita berpuasa selama tujuh hari dari bulan ini,akan ditutup pintu neraka.Akan dibuka lapan pintu syurga bagi mereka yang berpuasa lapan hari dari Rejab ini.Subhanallah Maha Suci Allah,begitu luas rahmat dan kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya.

Kita juga amat digalakkan untuk mempermudahkan urusan saudara kita yang lain.Kerana Allah Ta'ala memberikan ganjaran mahligai istana yang besar di syurga adalah sebagai balasan atas sebab mempermudahakan urusan serta melapangkan seorang mukmin dari kesusahan.Selain itu, amalan sedekah amat digalakkan.Bagi sesiapa bersedekah dengan penuh keikhlasana,akan ditulis baginya setiap helaian bulu romanya dengan seribu kebajikan,dan di angkat seribu darjat serta dihapuskan seribu kejahatan.Masya' Allah sungguh luas rahmat Allah di muka bumi ini.

Di dalam Bulan Rejab ini juga,terdapat beberapa peristiwa yang menjadi lipatan sejara Islam itu sendiri.Peristiwa Isra' Wal Mi'raj berlaku pada bulan ini.Ulama' berselisih pendapat pada menyatakan tarikh yang tepat berlakunya peristiwa ini.Ada yang mengatakan berlaku pada 26 Rejab,ada pula mengatakan 27 Rejab.Walau demikian,ianyya tidak menjadi perkara yang harus di pertikan.Kerana perselisihan pendapat antara ulama' adalah rahmat.Dalam peristiwa ini,satu kewajipan telah diperintahkan oleh Allah terus kepada Nabi Muhammad S.A.W.Perintah solat lima waktu telah difardhukan ketika peristiwa ini.Antara peristiwa yang lain,telah berlakunya satu peperangan antara umat Islam dan kaum musyrikin.Peperangan ini dinamakan ' Peperangan Tabuk ' atau dikenali sebagai ' Ghazwatul Asrah '.Ianya berlaku pada tahun kesembilan hijrah bersamaan 631 masihi.Peperangan ini juga merupakan peperangan yang terakhir yang di saksikan oleh Baginda Muhammad S.A.W.

Marilah kita sama-sama menghayati Bulan Rejab ini dengan melaksanakan amalan-amalan sunat yang di anjurkan.Seperti melazimi lidah dengan zikir dan istighfar.Mendirikan malam dengan melakukan sola-solat sunat.Di sampin itu juga,kita tidak lupa akan tuntutan yang wajib kita laksanakan.Ayuh kita meningkatkan keimanan serta ketaqwaan kita.Moga dengan apa yang kita lakukan itu,akan menjadi saksi tatkala berada di Padang Mahsyar.Juga mendapat keredhaan dari Allah S.W.T.Wallahu A'lam.

Sumber : Kitab Panduan Lengkap Kehidupan Muslim