Sunday, 13 June 2010

Bulan Rejab Kembali

Alhamdulillah,segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas segala limpah kurnia serta 'Inayah-Nya kita masih lagi menghirup udara Allah Ta'ala ini.Selawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarganya,para sahabat dan para tabi'in yang berjuang bersama Baginda S.A.W.

Berlalunya waktu masa kini begitu pantas meninggalkan kita.Setahun yang dirasakan bagaikan sebulan,sebulan pula dirasakan bagaikan sehari.Begitulah perumpamaan waktu yang kita ada pada hari ini.Adakala kita alpa dan leka dalam mengejar dunia menyebabkan kita lupa akan pengakhiran matlamat hidup ini.Kini,kita telah pun sampai ke satu bulan yang penuh dengan kerahmatan.Bulan yang diklasifikasikan sebagai Bulan Allah.Bulan itulah yang dinamakan sebagai Rejab.Apa yang dimaksudkan Rejab ialah kebesaran,keagungan dan kemuliaan.Ada pun setiap huruf pada perkataan Rejab ini membawa maksud yang tersendiri.Huruf ( Ra' ) adalah rahmat belas kasihan Allah atas umat Nabi Muhammad S.A.W.Manakala huruf ( Jim ) adalah 'Jud '.Ia bermakna sifat pemurah Allah dalam mengurniakan pahala solat lima waktu seakan solat lima puluh waktu.Huruf yang akhir sekali ialah ( Ba ) bermakna ' Birrun '.Ia jelas membawa maksud segala kebaikan yang dilakukan pada bulan yang mulia ini akan mendapat ganjaran besar di sisi Allah S.W.T.

Pada bulan ini juga,kita selaku umat Islam amatlah digalakkan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunat disamping tidak mengabaikan tuntutan yang wajib.Ini kerana perlbagai kelebihan dan fadhilat yang terkandung dalam bulan yang mulia ini.Antaranya pada malam Rejab ini adalah antara malam yang Allah Ta'ala maqbulkan doa bagi mereka yang menghidupkan pada malam tersebut.Selain itu juga,bagi mereka yang menghidupkan malam ini,nescaya hatinya tidak mati sedang mana hati orang lain mati.Disamping itu juga,bagi mereka yang memuliakan bulan Rejab ini,akan dimuliakan oleh Allah S.W.T di hari akhirat kelak.Namun kini,manusia lebih cenderung untuk mencari kemuliaan pada pandangan manusia berbangding kemuliaan di sisi Allah S.W.T.

Seperti mana yang kita sedia maklum akan mafhum hadith Nabi Muhammad S.A.W ' Bulan Rejab adalah bulan Allah,Bulan Sya'ban adalah bulan Baginda S.A.W,manakala Bulan Ramadhan adalah bulan umat Nabi Muhammad S.A.W '.Jika dihayati akan mafhum hadith ini,sudah tentu kita tahu akan kelebihan jika beramal pada bulan ini.Ianya sudah dan nyata,bulan yang dikategorikan sebagai Bulan Allah,sudah tentu banyak kelebihan dan fadhilat yang terkandung padanya.

Selain itu,kita digalakkan untuk melaksanakan amalan sunat seperti puasa.Allah S.W.T telah menjanjikan barang siapa yang berpuasa sehari,perumpamaan seperti mengerjakan ibadah haji seumur bagi mereka yang melakukannya juga akan memperoleh keredhaan Allah S.W.T.Jika berpuasa dua hari dalam bulan ini,Allah Ta'ala mengurniakan kemuliaan disisi-Nya bagi mereka yang mengerjakan.Makala berpuasa tiga hari darinya,akan diselamatkan dari ancaman bahaya di dunia mahupun akhirat.Juga akan terlindung dari penyakit gila dan fitnah syaitan dan dajjal. Manakala jika kita berpuasa selama tujuh hari dari bulan ini,akan ditutup pintu neraka.Akan dibuka lapan pintu syurga bagi mereka yang berpuasa lapan hari dari Rejab ini.Subhanallah Maha Suci Allah,begitu luas rahmat dan kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya.

Kita juga amat digalakkan untuk mempermudahkan urusan saudara kita yang lain.Kerana Allah Ta'ala memberikan ganjaran mahligai istana yang besar di syurga adalah sebagai balasan atas sebab mempermudahakan urusan serta melapangkan seorang mukmin dari kesusahan.Selain itu, amalan sedekah amat digalakkan.Bagi sesiapa bersedekah dengan penuh keikhlasana,akan ditulis baginya setiap helaian bulu romanya dengan seribu kebajikan,dan di angkat seribu darjat serta dihapuskan seribu kejahatan.Masya' Allah sungguh luas rahmat Allah di muka bumi ini.

Di dalam Bulan Rejab ini juga,terdapat beberapa peristiwa yang menjadi lipatan sejara Islam itu sendiri.Peristiwa Isra' Wal Mi'raj berlaku pada bulan ini.Ulama' berselisih pendapat pada menyatakan tarikh yang tepat berlakunya peristiwa ini.Ada yang mengatakan berlaku pada 26 Rejab,ada pula mengatakan 27 Rejab.Walau demikian,ianyya tidak menjadi perkara yang harus di pertikan.Kerana perselisihan pendapat antara ulama' adalah rahmat.Dalam peristiwa ini,satu kewajipan telah diperintahkan oleh Allah terus kepada Nabi Muhammad S.A.W.Perintah solat lima waktu telah difardhukan ketika peristiwa ini.Antara peristiwa yang lain,telah berlakunya satu peperangan antara umat Islam dan kaum musyrikin.Peperangan ini dinamakan ' Peperangan Tabuk ' atau dikenali sebagai ' Ghazwatul Asrah '.Ianya berlaku pada tahun kesembilan hijrah bersamaan 631 masihi.Peperangan ini juga merupakan peperangan yang terakhir yang di saksikan oleh Baginda Muhammad S.A.W.

Marilah kita sama-sama menghayati Bulan Rejab ini dengan melaksanakan amalan-amalan sunat yang di anjurkan.Seperti melazimi lidah dengan zikir dan istighfar.Mendirikan malam dengan melakukan sola-solat sunat.Di sampin itu juga,kita tidak lupa akan tuntutan yang wajib kita laksanakan.Ayuh kita meningkatkan keimanan serta ketaqwaan kita.Moga dengan apa yang kita lakukan itu,akan menjadi saksi tatkala berada di Padang Mahsyar.Juga mendapat keredhaan dari Allah S.W.T.Wallahu A'lam.

Sumber : Kitab Panduan Lengkap Kehidupan Muslim


Friday, 15 January 2010

Selamat Menghadapi Imtihan


Assalamualaikum diucapkan kepada semua sahabat di Mesir khasnya dan di mana jua anda berada. Bagi sahata-sahabat yang menuntut di Universiti Al-Azhar,diam tak diam kita bakal menghadapi peperiksaan bagi fasa awal sesi pengajian 2009/2010.Selamat maju jaya untuk semua.Jadikan peperiksaan sebagai jambatan untuk kita mencapai.Usah sematkan niat belajar kerana sijil semata-mata.Akan tetapi anggaplah sijil itu sebagai wasilah bagi kita dalam menyampaikan dakwah Islamiyyah.Agar dapat kita meneruskan kesinambungan 'Ulama warathatul Anbiya'.

D - Doalah kerana ianya merupakan senjata orang beriman
U - Usahalah dalam misi mencapai kejayaan
I - Istiqamah dalam melakukan sesuatu
T - Tawakal setelah selesai menghadapi sesuatu.Kerana tawakal itu tanda perngharapan kita pada ALLAH S.W.T

Salam Maju Jaya buat semua ... ('',)



Thursday, 7 January 2010

Suatu Pengalaman

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan Yang Maha Esa,yang berkuasa atas setiap sesuatu, pencipta segala makhluq yang ada di langit mahupun di bumi.Selawa serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W penghulu dan penutup segala nabi jua rasul,juga buat ahli keluarga baginda serta para sahabat R.Anhum.

Pada musim panas yang lalu,saya berpeluang untuk pulang ke Malaysia setelah hampir dua tahun tidak bersua muka dengan ahli keluarga.Perasaan yang sukar untuk digambarkan tatkala mendapat keizinan untuk pulang bercuti sepanjang musim panas.Bermulanya dengan membuat persediaan pula,hinggalah tiba pada hari keberangkatan.Suasana ceria dan riang gembira terpancar di setiap wajah.Bersama rakan seramai sebelas orang,kami menaiki pesawat yang sama.Walaupun berlaku beberapa insiden yang tidak di ingini,akan tetapi ianya tidak mematahkan semangat untuk pulang.

Setelah sampai di KLIA,saya dijemput oleh ayahanda tercinta.Bersalaman serta berpelukan hingga menitiskan air mata kegembiraan.Saya meminta diri awal dari rakan-rakan saya ingin mendaftar masuk bagi penerbangan dalam negeri.Kerana bimbang akan terlepas penerbangan. Setibanya di rumah,saya disambut oleh ahli keluarga tercinta.Begitu teruja rasanya ketika itu.

Seminggu berlalu,saya telah berehat puas saya memohon kerja di Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru.Alhamdulillah,rezeki dari Allah.Saya diterima sebagai KGSK (Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan) untuk mengajar di Sekolah Rendah Taman Sutera bagi menggantikan guru yang dihantar ke kursus.Pada hari pertama,saya rasa cukup bersemangat dan teruja.Masakan tidak,sebelum ini saya tidak pernah mengajar di mana - mana tempat sekalipun.Inilah pengalaman mengajar pertama saya.Pada awalnya,saya agak kekok dalam menyesuaiakan.Namun itu adalah perkara normal saya jangkakan.Dengan bantun guru - guru di situ,saya berusaha mengatasinya.Mengajar merupakan suatu pekerjaan yang mengasyikkan. Dapat mengimbas kembali zaman kenakalan sebagai pelajar ketika di sekolah dahulu.Namun saya hanya berpeluang untuk mengajar selama sebulan sahaja.Akan tetapi,pengalaman sesingkat amat bermakna buat diri saya.

Setelah itu,saya hanya berehat di rumah.Bulan Ramadhan pula semakin hampir.Saya masih lagi tiada program dalam seharian.Sehingga saya ditawarkan untuk menjadi imam solat tarawih. Seakan tidak percaya akan tawaran ini.Setelah berfikir,saya membuat keputusan untuk menerimanya.Saya diminta untuk bertugas menjadi imam di Masjid Al-Jawahir,Taman Mutiara Rini.Saya mula bertugas pada malam kedua.Perasaan ketika amat mendebarkan.Masakan tidak,sebelum ini saya tidak pernah menjadi imam di masjid besar.Ketika itu,cukup membuatkan badan saya menggeletar.Namun,setelah beberapa hari saya kembali yakin dalam melaksanakan tugas ini.Alhamdulillah.

Fajar syawal menjelma.Takbir raya berkumandang di pelosok kampung saya. Hati sayu bercampur gembira.Setelah dua kali tidak menyambutnya bersama ahli keluarga,kali ini saya berpeluang meraikannya bersama keluarga tercinta.Saya amat merindukan makanan tradisi orang bugis iaitu burasak.Proses membuatnya agak lama.Bermula dengan mencari daun serta pucuk pisang,sehingga ke peringkat terakhir iaitu merebusnya.Namun segalanya menjadi mudah bila dilakukan bersama.Pada malam raya lagi,saya telah makan sepuasnya.Ianya adalah makanan kesukaan saya di hari raya.Setelah bersalaman memohon kemaafan,kami semua pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidil Fitri.Saya telah diminta untuk membaca khutbah serta mengimamkan solat sunat tersebut.Pada peringkat awalnya saya menolak dengan alasan tidak bersedia,tetapi setelah diminta beberapa kali saya akur dengan permintaan itu.Bermula dengan imam solat sunat diikuti pula dengan membaca khutbah.Saya amat bersyukur dengan peluang ini.Ianya membantu saya dalam meyakinkan diri ini untuk bercakapi hapan orang.

Seminggu berlalu setelah puas berhari raya di kampung,saya pulang ke Johor Bahru.Pada minggu kedua Bulan Syawal,saya telah bertugas sebagai guru tuisyen di tempat saya.Tugas ini merupakan cabaran baru bagi saya.Saya hanya mengajar dua kali dalam seminggu.saya diminta untuk mengajar serta membimbing dalam subjek Bahas Arab.Pening juga pada mulanya.Pelajar tuisyen itu terdiri dari murid darjah satu , dua , tiga dan empat dari Sekola Rendah Islam Hidayah.Pelbagai ragam dan karenah yang ada.Bila bercakap dengan darjah empat , darjah dua pula yang bising.Namun,bagi saya ianya adalah satu pengalaman yang cukup berharga serta proses mendewasakan diri.

Setelah hampir lima bulan bercuti,tarikh berangkat pulang semakin tiba.Saya mula membuat persiapan untuk pulang.Membeli barang keperluang yang ingin dibawa ke sana.Saya serta rakan telah memilih untuk pulang pada sehari selepas Hari Raya Aidil Adha.Pada hari raya itu, sekali lagi saya diminta untuk mengimamkan solat sunat Aidil Adha.Namun kali ini saya terus menerima tanpa berfikir panjang.Tibalah tarikh kepulangan,saya bertolak awal ke Kuala Lumpur.Dengan perjalanan yang memakan masa hampir empat jam,saya tiba di rumah pakcik yang tinggal di sana.

Kini,setelah hampir sebulan sampai ke Mesir,saya kembali pada kehidupan sebagai seorang mahasiswa.Saya juga telah kembali pada suatu kehidupan yang penuh mencabar.Walaupun begitu,terdapat rahmat dan berkat di bumi Mesir ini.Msir yang di dalamnya terdapat satu institusi terulung di dunia,iaitu Universiti Al-Azhar.Kerana itu saya ke sini.

Tambahan : Terima kasih di ucapkan kepada organisasi yang telah memberi peluang dan kepercayaan kepada saya dalam melaksanakan tugas tertentu.Terima kasih kepada :

  • Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru
  • Sekolah Kebangsaan Taman Sutera
  • Masjid Al-Jawahir,Taman Mutiara Rini
  • Surau Mutiara Iman,Taman Mutiara Rini
  • Surau Jawharul Muttaqin,Taman Mutiara Rini
  • Encik Mahadhir,Ali & Co
  • Encik Daud Mohammad


Saturday, 14 November 2009

14 November 1988 -14 Novermber 2009

Alhamdulillah,bersyukur kepada Allah atas segala nikmat Iman dan Islam serta kesihatan yang tidak terhingga.Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W penghulu segala Nabi dan Rasul serta ahli keluarga Baginda,sahabat-sahabat dan para pengikut Radiallahu 'Alaihim 'Ajmain.Alhamdulillah,pada hari ini,genaplah umurku 21 tahun.Ternyata ianya suatu jangka masa yang panjang.Pelbagai ranjau duri telah aku lalui.Pahit,manis semuanya bercampur baur.Tapi, alhamdulillah semuanya berjaya dilalui.Perjalanan dalam hidup ini masih jauh.Cita-cita perlu dicapai kerana ianya salah satu matlamat dalam hidup.Ku harapkan doa tulus dari kalian agar mendoakan diri ini berjaya dalam hidup dunia dan akhirat.Terima kasih kepada yang memberikan ucapan ulang tahun.Juga tidak lupa kepada ahli keluarga yang banyak memberikan sokongan dan semangat bagi aku terus cekal menghadapi hidup.Terima kasih atas segalanya....=)

Thursday, 12 November 2009

Haji Menuju Allah


Haji Menuju Allah
Raihan


Labbaikallahumma Labbaika
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaika
Innalhamda Wal Ni'mata
Laka Wal Mulk Laa Syarikalaka

Pergi haji
Artinya menuju Allah yang esa
Membawa hati dan diri yang hina
Memberi hadiah kepada Allah
Berhati-hatilah menghadapNya

Setiap hamba
Pergi haji dengan segala yang baik
Hati yang baik akhlak yang baik
Harta yang halal hati yang bersih
Niat yang suci amal mulia

Pergi haji
Ilmu tentangnya mestilah ada
Agar syarat dan rukun tepat sempurna
Sah dan batalnya dapat dijaga
Agar amalan hajinya tidak sia-sia

Tata tertib dan akhlak kenalah jaga
Buatlah dengan tenang serta tawadu'
Sabar dan tolak ansur mestilah ada
Jangan berkasar merempuh manusia

Tanah haram jagalah pantang larangnya
Pergi haji bukannya masa untuk membeli belah
Beringatlah betulkanlah niat kita
Moga-moga haji kita diterima

Jagalah pantang larangNya
Yang boleh rusakkan hati
Jauhkan maksiat dan yang sia-sia
Takutkan Allah yang esa
Ingat selalu padaNya
Agar kita senantiasa memiliki jiwa hamba

Lagu ini buat seluruh jemaah haji Malaysia yang sedang dan akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini khususnya untuk atuk ( Hj Samsudin ) dan nenek ( Hjh Hindon ),semoga mudah segala urusan di sana,dikurniakan kesihatan dan kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta dapat menunaikannya dengan sempurna.Akhir sekali,semoga Allah menerima haji kalian dan beroleh haji yang mabrur.Amin...

Wednesday, 11 November 2009

Semoga Beroleh Haji Mabrur

Dari kiri : Ayah(Hj Sham),Nenek(Hjh Hindon),Atuk(Hj Samsudin),Emak(Masitah).


Semalam,10hb November 2009 tibalah masanya keberangkatan datuk dan nenek tercinta ( Haji Samsudin & Hjh Hindon ) ke tanah suci Makkah Al-Mukarramah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima.Walaupun sedih mengenangkan detik ini,hati ini perlu tabah dan redha atas ujian perpisahan ini.Pertemuan dan perpisahan adalah lumrah kehidupan.Ianya juga merupakan ujian Allah ke atas hamba-Nya untuk menguji sejauh mana pengharapan seorang hamba kepada Tuhan-Nya.
Buat datuk dan nenek yang tercinta :
Ku doakan agar dikurniakan kesihatan berpanjangan,kekuatan dalam mendirikan ibadah, ketabahan menghadapi ujian rintangan,kesabaran yang tinggi dan yang paling penting semoga beroleh Haji Mabrur sebagaimana yang diimpikan setiap tetamu Allah.Selamat pergi dan pulang daku doakan.Semoga semuanya baik-baik belaka.Amin.......


ikhlas dari,
cucumu...=)

Tuesday, 10 November 2009

Mencari Qiblat Dalam Masjid

'Mencari qiblat dalam masjid' mungkin agak kelakar bila kita mendengarnya.Mana mungkin boleh tercari-cari qiblat di dalam masjid sedangkan sudah terpampang arah qiblatnya.Masuk sahaja ke dalam masjid,kita sudah diperlihatkan arah yang menyatukan umat Islam.Terdapat mimbar di hapan bahagian masjid yang menjadi tempat Imam menyampaikan khutbah. Tetapi pernah kita terfikir akan kejadian 'mencari qiblat dalam masjid' ini?Mungkin kita jarang mendengarnya.Saya sendiri mendengarnya melalui sebuah cerita di televisyen.Pada mulanya,saya seakan tidak mengendahkan skrip yang dilakonkan.Akan tetapi, selepas menontonnya ianya menarik perhatian.Apakah benar perkara ini berlaku walaupun ianya sekadar lakonan? Kalau benar berlaku,alangkah sedihnya kita sebagai umat Islam.Bila kita lihat keadaan umat Islam pada masa kini,tidak mustahil perkara ini berlaku.Masakan tidak,apabila ilmu agama tidak dipelajari sepenuhnya,penghayatan terhadap ajaran yang telah disampaikan Rasulullah S.A.W tidak diberi perhatian sewajarnya,syariat Yang Maha Esa tidak dilaksanakan dengan sebaiknya maka adalah tidak mustahil berlakunya kejadian sebegini.Kita semua sudah maklum,solat adalah perkara utama dalam menjadikan kita sebagai umat Islam yang cemerlang.Di Hari Perhitungan nanti,solat merupakan amalan utama yang akan ditanya.Tapi,bila perkara solat diambil ringan, tidak bersungguh-sungguh untuk mengerjakannya,ramailah umat Islam akan terus hanyut dengan kehidupan dunia.Kalau solat pun sudah dipandang remeh,apakan pula hendak ke masjid.Berbalik pada tajuk di atas,ianya jelas menunjukkan sungguh cetek ilmu seseorang itu. Tetapi,jika sekiranya seseorang itu betul-betul tidak tahu maka wajib baginya untuk mencari ilmu agama.Tapi,jika seseorang itu sudah tahu tapi tetap tidak mahu melaksanakan perintah solat itu,maka bersedialah untuk menjawab persoalan di akhirat kelak.Seharusnya kita perlu membimbing mereka yang masih mahu menunaikan solat dan mereka yang mahu untuk menghadirkan diri ke rumah Allah walaupun berlakunya 'mencari qiblat dalam masjid'. Golongan ini harus di beri perhatian dan bimbingan yang sewajarnya.Ini kerana,terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu terjerumus dengan ajaran sesat.Mereka yang ingin berubah tapi tiada bimbingan yang betul akan mudah terikut dengan ajaran yang bercanggah dari syariat yang sebenarnya.Marilah kita memberi perhatian dengan keadaan yang melanda umat Islam kini agar kejadian 'mencari qiblat dalam masjid' tidak berlaku. Walaupun ianya sekadar skrip drama,jangan pula kita pandang remeh perkara ini.Sama-samalah kita meningkatkan keimanan kepada Allah agar kita tergolong di dalam golongan mereka yang berjaya di dunia dan akhirat.