Tuesday 10 November 2009

Mencari Qiblat Dalam Masjid

'Mencari qiblat dalam masjid' mungkin agak kelakar bila kita mendengarnya.Mana mungkin boleh tercari-cari qiblat di dalam masjid sedangkan sudah terpampang arah qiblatnya.Masuk sahaja ke dalam masjid,kita sudah diperlihatkan arah yang menyatukan umat Islam.Terdapat mimbar di hapan bahagian masjid yang menjadi tempat Imam menyampaikan khutbah. Tetapi pernah kita terfikir akan kejadian 'mencari qiblat dalam masjid' ini?Mungkin kita jarang mendengarnya.Saya sendiri mendengarnya melalui sebuah cerita di televisyen.Pada mulanya,saya seakan tidak mengendahkan skrip yang dilakonkan.Akan tetapi, selepas menontonnya ianya menarik perhatian.Apakah benar perkara ini berlaku walaupun ianya sekadar lakonan? Kalau benar berlaku,alangkah sedihnya kita sebagai umat Islam.Bila kita lihat keadaan umat Islam pada masa kini,tidak mustahil perkara ini berlaku.Masakan tidak,apabila ilmu agama tidak dipelajari sepenuhnya,penghayatan terhadap ajaran yang telah disampaikan Rasulullah S.A.W tidak diberi perhatian sewajarnya,syariat Yang Maha Esa tidak dilaksanakan dengan sebaiknya maka adalah tidak mustahil berlakunya kejadian sebegini.Kita semua sudah maklum,solat adalah perkara utama dalam menjadikan kita sebagai umat Islam yang cemerlang.Di Hari Perhitungan nanti,solat merupakan amalan utama yang akan ditanya.Tapi,bila perkara solat diambil ringan, tidak bersungguh-sungguh untuk mengerjakannya,ramailah umat Islam akan terus hanyut dengan kehidupan dunia.Kalau solat pun sudah dipandang remeh,apakan pula hendak ke masjid.Berbalik pada tajuk di atas,ianya jelas menunjukkan sungguh cetek ilmu seseorang itu. Tetapi,jika sekiranya seseorang itu betul-betul tidak tahu maka wajib baginya untuk mencari ilmu agama.Tapi,jika seseorang itu sudah tahu tapi tetap tidak mahu melaksanakan perintah solat itu,maka bersedialah untuk menjawab persoalan di akhirat kelak.Seharusnya kita perlu membimbing mereka yang masih mahu menunaikan solat dan mereka yang mahu untuk menghadirkan diri ke rumah Allah walaupun berlakunya 'mencari qiblat dalam masjid'. Golongan ini harus di beri perhatian dan bimbingan yang sewajarnya.Ini kerana,terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu terjerumus dengan ajaran sesat.Mereka yang ingin berubah tapi tiada bimbingan yang betul akan mudah terikut dengan ajaran yang bercanggah dari syariat yang sebenarnya.Marilah kita memberi perhatian dengan keadaan yang melanda umat Islam kini agar kejadian 'mencari qiblat dalam masjid' tidak berlaku. Walaupun ianya sekadar skrip drama,jangan pula kita pandang remeh perkara ini.Sama-samalah kita meningkatkan keimanan kepada Allah agar kita tergolong di dalam golongan mereka yang berjaya di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment